TIRAI pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah dibuka dengan sekurang-kurangnya 22 ‘kerusi panas’ daripada keseluruhan 244 Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dikenal pasti berlaku pertembungan sengit.
Dengan PRN enam negeri ini dijangka banyak pihak menjadi referendum terhadap pencapaian Kerajaan Perpaduan, semestinya kesemua kerusi panas itu bakal menjadi penentu sama ada calon ‘heavyweight’ yang dipertaruhkan memenuhi jangkaan kemenangan atau ditumbangkan calon ‘penyembelih naga’.
Sinar Premium menyenaraikan antara 22 kerusi panas yang dikenal pasti menjadi rebutan koalisi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahu pun calon-calon lain.
SELANGOR
Negeri Selangor sememangnya dianggap medan pertempuran politik paling sengit dengan ramai pemerhati politik melihat negeri terkaya Malaysia itu berisiko jatuh ke tangan PN sekiranya koalisi PH-BN tersilap strategi.
Hakikatnya lebih 30 kerusi DUN negeri itu boleh dianggap 'panas', bagaimanapun Sinar Premium menyenaraikan empat kerusi yang menjadi tumpuan rakyat seluruh negara iaitu DUN Sungai Tua, DUN Hulu Kelang, DUN Gombak Setia dan DUN Batu Tiga.
Di DUN Sungai Tua, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka berdepan cabaran sengit calon PN daripada Pas iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin.
Tekad mempertahankan kerusi DUN itu sekiranya jumlah undi berdasarkan data PRU15 Parlimen Gombak diambil kira, gabungan undi PH-BN sahaja sudah cukup membantu Amirudin kekal di kerusi tersebut dengan majoriti selesa lebih 13,000 undi.
Bahkan jika berlaku boikot undi penyokong BN terhadap beliau sekali pun, Naib Presiden PKR itu masih mampu menang dengan jangkaan majoriti lebih 6,700 undi.
Tumpuan paling utama pastinya terarah kepada DUN Hulu Kelang yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PN yang bakal menerima cabaran getir bekas anak muridnya, Juwairiya Zukifli daripada PKR.
Dengan kedua-dua pemimpin itu bertukar kerusi DUN, Mohamed Azmin pastinya tidak mahu episod kekalahan beliau kepada Amirudin yang juga anak buahnya di Parlimen Gombak pada PRU15 akan berulang kembali pada PRN Selangor.
Tekanan pastinya amat dirasai Mohamed Azmin kerana impak keputusan di DUN ditandingi beliau bakal menjadi penentu sama ada fenomena gelombang hijau benar-benar meresapi rakyat Selangor atau sebaliknya pada PRN negeri itu.
Di DUN Gombak Setia, satu lagi pertembungan menarik berlangsung antara penyandang kerusi itu daripada PN, Muhammad Hilman Idham dengan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Sekiranya keputusan PRU15 dijadikan ukuran, gabungan undi penyokong BN-PH mampu memberi kelebihan kepada Megat Zulkarnain mencipta kejutan ke atas Muhammad Hilman, sekali gus membuka ruang kepada Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri itu dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor jika PH-BN menang.
Keupayaan Muhammad Hilman di samping fenomena kemungkinan berlakunya peralihan pengundi Melayu di Selangor kepada PN tidak boleh dipandang rendah.
Kejutan paling besar pastinya berlaku di DUN Batu Tiga apabila Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Harun yang tewas di kerusi Parlimen Sepang pada PRU15 diberi ruang bertanding sekali lagi pada PRN Selangor.
DUN Batu Tiga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dengan calon Amanah, Danial Al Rashid dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen (Muda).
Atas kertas, kerusi sebelum ini disandang Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail (PKR) dijangka kekal status quo kepada PH jika undi gabungan PH-BN diambil kira di Parlimen Shah Alam pada PRU15.